Lagenda Badminton Negara Datuk Mohmed Misbun Dato’ Mohd Sidek mengetuai sesi pembelajaran dan latihan Klinik Badminton sempena Pameran Anak-Anak Sidek di Dewan Badminton Kelab Sukan SUK Selangor, Shah Alam pada 3 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

55 kanak-kanak sertai klinik badminton bersama anak-anak Sidek

SHAH ALAM, 3 MAC : Seramai 55 kanak-kanak berusia lingkungan 10 hingga 16 tahun menyertai Klinik Badminton sempena Pameran Anak-anak Sidek: Lagenda Badminton Negara di sini, hari ini.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata pihaknya menerima permintaan yang sangat menggalakkan namun pengambilan peserta pada peringkat permulaan ini perlu dihad.

Menurutnya, program dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan Kelab Badminton Nusa Mahsuri bertujuan mendedahkan teknik asas badminton kepada peserta.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah pada Klinik Badminton sempena Pameran Anak-Anak Sidek di Dewan Badminton Kelab Sukan SUK Selangor, Shah Alam pada 3 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Ia juga bertujuan menggalakkan minat peserta muda ini dalam sukan badminton selain melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas selari dengan objektif Dasar Sukan Negara.

“Alhamdulillah, penyertaan juga amat menggalakkan apabila peserta bukan sahaja dari Selangor tetapi saya dimaklumkan ada dari Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Johor.

“Insya-Allah, jika mendapat sambutan saya cadangkan klinik ini dapat disambung lagi dengan lebih ramai peserta,” katanya ditemui selepas merasmikan klinik berkenaan di Dewan Badminton Kelab Sukan SUK Selangor di sini.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bersalaman bersama peserta Klinik Badminton sempena Pameran Anak-Anak Sidek di Dewan Badminton Kelab Sukan SUK Selangor, Shah Alam pada 3 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Bermula 7.30 pagi hingga 5 petang, kesemua peserta klinik badminton akan menjalani sesi pembelajaran dan latihan diketuai Lagenda Badminton Negara Datuk Mohmed Misbun Dato’ Mohd Sidek

Mereka juga diberi pendedahan berkaitan teknik asas dalam permainan badminton dan ‘shuttle drill’ yang turut diajar oleh Dato’ Seri Mohd Jalani Sidek dan Abdul Rahman Sidek.

 


Pengarang :