AGENDAJENAYAH

80 ditahan disyaki jadi ‘keldai akaun’ serah maklumat bank kepada sindiket

SIBU, 25 MAC: Seramai 80 individu ditahan di Sibu sejak Januari lalu kerana disyaki menjadi ’keldai akuan’ dengan menyerahkan maklumat bank kepada sindiket untuk tujuan penipuan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata individu terbabit telah didakwa di mahkamah berhubung kesalahan tersebut.

“Menyerahkan akaun kepada pihak yang tidak berwajib bukan sahaja melanggar undang-undang malah memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha mencegah penipuan secara dalam talian.

Zulkipli mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menyerahkan maklumat akaun peribadi kepada orang lain kerana tindakan itu boleh membawa kepada penyalahgunaan maklumat peribadi dan menyebabkan kerugian yang besar.

Pihak polis katanya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan maklumat peribadi.

– BERNAMA


Pengarang :