Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han (tengah) bergambar bersama wakil masjid dan surau di Dewan Saidina Abu Bakar, Masjid As Salam, Puchong Perdana pada 9 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Kinrara peruntuk RM31,000 semarak program Ramadan di masjid, surau

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PUCHONG, 9 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara memperuntukkan RM31,000 untuk masjid dan surau di kawasan berkenaan, menurut wakil rakyatnya.

Ng Sze Han berkata sumbangan itu disalurkan kepada 31 masjid dan surau bagi menjayakan pelbagai program sepanjang Ramadan tidak lama lagi.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pengurusan masjid dan surau untuk menjalankan program yang membawa manfaat kepada umat Islam sekitar DUN ini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berucap pada majlis ramah mesra bersama wakil masjid dan surau di Dewan Saidina Abu Bakar, Masjid As Salam, Puchong Perdana pada 9 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Diharap sumbangan ini dapat mengimarah sambutan Ramadan mengikut program yang dijalankan pengurusan masjid dan surau,” katanya yang juga EXCO Pelaburan.

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra bersama pengurusan masjid dan surau sekitar DUN Kinrara di Masjid As Salam, Puchong Perdana, di sini hari ini.

Pada masa sama Sze Han turut memaklumkan hasil perjumpaan hari ini, beliau melihat masalah infrastruktur bangunan masjid dan surau menjadi antara masalah utama yang perlu diselesaikan.

“Kita ambil maklum apa yang disuarakan wakil pengurusan, rata-rata mereka menyatakan masalah seperti bumbung bocor, bangunan uzur, anai-anai dan sistem pembesar suara yang perlu diberi perhatian segera.

“Cuma buat masa ini kita akan melihat keperluan dan keutamaan bagi baik pulih namun akan pastikan keselamatan umat Islam yang menunaikan ibadah di masjid dan surau DUN ini terjamin,” katanya.


Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han (tengah) beramah mesra bersama wakil masjid dan surau di Dewan Saidina Abu Bakar, Masjid As Salam, Puchong Perdana pada 9 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :