Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiskusi dan bertukar pandangan bersama rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah di Berlin, Jerman pada 14 Mac 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar lantang bela Palestin depan kuasa besar raih perhatian dunia

SHAH ALAM, 21 MAC: Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembantaian terhadap penduduk Palestin oleh tentera Israel khususnya di Gaza menarik perhatian dunia.

Kelantangan beliau yang konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin di atas pentas dan forum di luar negara kini telah mula membuka mata pemimpin dan masyarakat antarabangsa.

Selain misi menarik pelaburan asing melabur di Malaysia, menteri kewangan itu tanpa berselindung mendesak agar gencatan senjata di Palestin dilakukan dan menghentikan kezaliman supaya bantuan kemanusiaan disalur.

Orang ramai menyatakan sokongan dengan menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Perdana menteri berterus terang mengkritik sikap negara kuasa besar dan sekutunya yang acuh tidak acuh untuk menghentikan konflik itu sejak bermula pada 7 Oktober 2023. Sebaliknya mereka pula mengecam pertubuhan Hamas.

Dalam lawatan kerjanya di Jerman enam hari bermula 10 Mac, Anwar menegaskan pendirian Malaysia itu di depan Canselor Jerman Olaf Scholz selepas diasak para wartawan.

Beliau menegaskan pendirian dasar luar negara yang tekal menentang penjajahan, aparteid, pembersihan etnik atau rampasan hak mana-mana negara, termasuk Ukraine dan Palestin.

Malah Anwar berkata tindakan Israel yang merampas tanah rakyat Palestin sejak puluhan tahun lalu sebagai punca yang membangkitkan tindak balas dan kemarahan rakyat negara itu.

“Apa yang saya tolak dengan keras ialah naratif ini, obsesi ini, macamlah semua masalah bermula dan berakhir pada 7 Oktober. Ia tidak bermula dengan 7 Oktober dan tidak berakhir dengan 7 Oktober,” katanya.

“Bagaimana dengan penempatan haram dan sikap penceroboh haram ini? Bagaimana pula dengan nasib mereka yang dirampas hak, maruah dan tanah milik mereka?

“Adakah ini tidak penting? Di mana tercampaknya kemanusiaan? Mengapa wujud hipokrasi ini?” katanya pada 11 Mac.

Kritikan Anwar itu mengundang sokongan individu berpengaruh dunia dalam pelbagai bidang antaranya bekas bintang ragbi All Blacks Sonny Bill William, wartawan warga British-Amerika Mehdi Hassan, wartawan Perancis Arnaud Betrand, penyanyi Maher Zain dan ahli politik Portugis Bruno Maceas di dalam media sosial mereka.

“Kami telah mencapai satu tahap iaitu perdana menteri Malaysia @anwaribrahim kini bercakap untuk majoriti rakyat dunia dan bukan pemimpin Eropah atau Barat,” kata Mehdi dalam hantaran di X.

Sebelum bertolak ke Jerman, Anwar menggunakan hubungan diplomasi antara negara memujuk negara lain seperti Australia dan Jepun supaya berperanan secara kolektif menghentikan konflik itu
“segera dan selama-lamanya”.

Pada Sidang Kemuncak Asean-Australia, 6 Mac, beliau mengingatkan pemimpin negara serantau bahawa mereka telah menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan menuntut gencatan senjata kemanusiaan pada 12 Disember 2023.

“Kita harus mendesak agar tuntutan ini direalisasikan… segera dan selama-lamanya,” kata perdana menteri sambil menyatakan perang di Gaza semakin memburuk apabila lebih 30,000 rakyat terbunuh, selain krisis kebuluran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 October, 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Pada 17 Disember 2023, hasrat yang sama disampaikan Anwar kepada Jepun bahawa kerjasama Asean dan Jepun boleh berperanan dalam masyarakat dunia ke arah melerai konflik berpanjangan Palestin-Israel.

“Kami (Malaysia) sudah tentu mengecam serangan berterusan Israel ke atas Gaza. Kekejaman ini mengingatkan kita kepada (serangan bom nuklear) Hiroshima-Nagasaki,” katanya ketika menyampaikan kenyataan di Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun di Tokyo.

Kelantangan perdana menteri jelas sejak konflik setengah tahun lalu. Rentetan itu dalam kunjungan diplomasi ke luar negara, beliau bertemu dengan ramai pemimpin dunia bagi menyatakan sikap Malaysia berkaitan isu Israel-Palestin.

Pertemuan itu termasuklah dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman (22 Oktober), Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan (23 Oktober) dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi (23
Oktober).

Paling menarik, beliau mengkritik sikap bungkam negara-negara Barat dalam persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada 17 November 2023.


Pengarang :