Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Aplikasi PTRS mudahkan akses kandungan, pembelajaran lebih terbuka

SHAH ALAM, 6 MAC: Aplikasi mudah alih telefon pintar yang dibangunkan dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) tahun ini bagi memudahkan akses kandungan dan pembelajaran lebih terbuka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program turut ditambah baik dengan penyediaan saluran video langsung bertujuan memudahkan komunikasi secara terus antara guru dan pelajar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Portal ini boleh diakses melalui www.eptrs.my. Saya gembira melihat perkembangan dari sudut kandungan pembelajaran, kaedah pembentukan video hinggalah aplikasi mudah alih.

“Ini hasil kemahiran dalaman sama ada jabatan pendidikan negeri atau Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI. Sebab itu kita boleh lakukan dengan dana RM10 juta termasuk tambahan RM3 juta dari Kerajaan Negeri. Sebelum ini MBI keluarkan RM7 juta,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan Dr G Gunaraj, Amirudin menjelaskan seramai 130,000 pelajar bakal menerima manfaat program berkenaan, meningkat sekali ganda berbanding 65,000 peserta sebelum ini.

“Tahun ini kita perluaskan kepada pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan pelajar Tingkatan Empat dari 277 sekolah menengah termasuk aliran agama dari keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.

“MBI bercadang melakukan intervensi kepada pelajar sekolah rendah yang mengalami masalah 3M (membaca, mengira, mengeja) disebabkan era Panemik Covid-19. Ini usaha untuk elakkan kelompok tersisih akibat Covid-19,” katanya.

Wakil 46 sekolah dalam daerah Petaling mendapatkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Selain pemberian modul, peruntukan termasuk elaun guru dan makan tengah hari kepada pelajar yang menyertai tuisyen dengan 277 sekolah serta 1,956 guru dan penyelaras terlibat bagi 2023.


Pengarang :