Sebuah helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi, 5 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bangkai helikopter dijangka dibawa keluar petang ini

KUALA SELANGOR, 5 MAC: Bangkai helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa di sini pagi tadi dijangka dibawa keluar dari lokasi kejadian lewat petang ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Ambia Nordin berkata sehingga itu, polis melakukan pengawasan bagi memastikan keselamatan di sekitar lokasi kejadian.

“Saya sudah ke lokasi kejadian dan kita menugaskan lapan anggota polis membantu APMM membuat kawalan keselamatan di lokasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Ambia Nordin (dua, kanan) ketika ditemui di Jeti Pasir Penambang selepas meninjau lokasi insiden helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, pada 5 Mac 2024. Foto BERNAMA

“Kawalan keselamatan dibuat bertujuan mencegah orang awam menghampiri lokasi kerana bangkai pesawat masih berada di sana dan di lokasi juga terdapat tumpahan minyak,” katanya ditemui di Jeti Pasir Penambang selepas meninjau lokasi insiden.

Terdahulu, APMM mengesahkan helikopter jenis AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria turut disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

– BERNAMA


Pengarang :