Bantu golongan susah, lebih 550 peniaga bazar Ramadan di PJ sertai program bakul rezeki

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 15 MAC: Seramai 559 pemegang permit bazar Ramadan menyertai program bakul rezeki anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tahun ini.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata peniaga terlibat akan menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan sepanjang bulan puasa selain mengelak pembaziran makanan.

“Kita beri peluang kepada peniaga bazar Ramadan berkongsi rezeki dan menyantuni golongan susah. Kita akan kenal pasti lokasi sumbangan bakul rezeki ini.

“Selain peniaga di bazar Ramadan, kita harap lebih ramai pihak menyertai program ini sekali gus dapat membantu lebih ramai orang miskin, asnaf dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan penghargaan kepada peserta program bakul makanan serta meninjau Bazar Ramadan 2024 ‘Digital & Clean’ di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, hari ini.

Beliau berkata selari dengan ‘Petaling Jaya Pintar, Mampan Dan Berdaya Tahan 2030, pihaknya giat melaksana kempen pengumpulan minyak masak terpakai di beberapa lokasi bazar Ramadan.

“Program ini sebagai tanda kesungguhan kita dalam hasilkan persekitaran indah, selesa, selamat dan sejahtera di Petaling Jaya,” katanya.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tiga dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada peniaga bazar Ramadan yang menyertai program Bakul Rezeki MBPJ sempena program Lawatan Datuk Bandar Petaling Jaya ke Bazar Ramadan 2024 ‘Digital & Clean’ di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya pada 15 Mac 2024. Foto MBPJ

Pengarang :