Penduduk membuat pendaftaran bagi mendapatkan baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Bantuan SMUE dibayar secara e-baucar bermula April

SHAH ALAM, 6 MAC: Kaedah penebusan bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) akan dibayar melalui e-baucar menggunakan aplikasi khas bermula April depan, kata EXCO kebajikan masyarakat.

Menurut Anfaal Saari, pelaksanaan terbaharu itu bagi memudahkan penerima mendapat hak mereka berbanding kaedah lama yang perlu dituntut di pejabat wakil rakyat atau penyelaras.

“Kerajaan Negeri kini dalam proses penyelarasan ke arah pendigitalan. Mulai April kita akan mulakan proses pendaftaran dan pengesahan, manakala penebusan pula melalui konsep e-baucar.

“Tatakelola penebusan pula hanya boleh dilakukan penama yang sah sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Anfaal menambah pihaknya juga akan meminta Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menyelesaikan agihan baucar kepada penerima bantuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang.

“Agihan baucar di kawasan pembangkang diuruskan penyelaras tetapi mana belum selesai, saya akan minta Yawas segerakan petugas turun atau minta DUN angkat sampaikan bantuan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM16.48 juta bagi meneruskan program Jom Shopping perayaan dengan setiap seorang menerima RM200 untuk membeli barangan keperluan.


Pengarang :