Bekas pemain Selangor, Nidzam Jamil dilantik ketua jurulatih baharu Selangor FC musim 2024/2025. Foto Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Bekas pemain Selangor Nidzam Jamil dilantik ketua jurulatih baharu Selangor FC

SHAH ALAM, 16 MAC: Teka-teki status ketua jurulatih baharu Selangor FC terjawab hari ini apabila Nidzam Jamil secara rasmi dilantik pengendali pasukan bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan Nidzam calon tepat untuk mengemudi Gergasi Merah berbekalkan pengalaman luas dalam kancah bola sepak.

“Kami telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif, serta melihat keupayaan yang ditunjukkan oleh Nidzam semasa beliau berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih untuk musim sebelum ini.

“Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali pemain SFC.

“Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran SFC bagi musim 2024/2025,” katanya dalam kenyataan.

Dilahirkan dan membesar di pekan Kajang, Nidzam Jamil merupakan bekas pemain Selangor pada 2000 hingga 2004.

Sepanjang tempoh itu, beliau membantu pasukan menjulang Piala FA (2001), Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia (2002).

Selepas bersara sebagai pemain pada 2008, Nidzam menunjukkan persembahan baik sebagai jurulatih SPA FC dan Felda United FC sebelum menyertai barisan kejurulatihan Selangor sebagai penolong jurulatih Michael Feichtenbeiner bagi musim 2022.

Selepas menggalas peranan sebagai jurulatih interim pada pertengahan musim selepas jurulatih Jerman itu dipecat, beliau kekal sebagai pembantu jurulatih kepada Tan Cheng Hoe yang tiba pada September 2022.

Nidzam mengatasi cabaran tiga jurulatih import yang turut berminat mengisi kekosongan ditinggalkan Cheng Hoe.


Pengarang :