SHAH ALAM, 23 MAC: Pusat Borong GM Klang menawarkan jongkong emas bernilai lebih RM10,000 bagi pengunjung yang berbelanja lebih RM200 di ‘Rioooh Raya Bazaar 2024’ yang dianjurkan sempena sambutan Aidilfitri.
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata Rioooh Raya Bazaar 2024 yang menampilkan lebih 40 reruai dengan pelbagai produk seperti baju raya untuk seisi keluarga, tudung, kuih, barangan dekorasi dan kelengkapan rumah, pewangi serta pelbagai barangan lain itu dibuka bermula hari ini hingga 9 April depan.
Bazar bertempat di tingkat bawah GM Klang itu dibuka pada 10 pagi hingga 8 malam.
“Pelanggan yang telah berbelanja RM200 ke atas di mana-mana reruai yang menyertai bazaar ini hanya perlu menunjukkan resit pembelian serta memuat turun aplikasi komuniti bisnes GM Klang untuk layak memilih kunci yang bertuah bagi membuka peti mengandungi jongkong emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norsuhaida berkata sesi pemilihan kunci bertuah bagi membuka peti mengandungi jongkong emas akan dilakukan pada setiap Sabtu sepanjang bazar berlangsung iaitu pada 23, 30 Mac dan 6 April di kaunter khas berdekatan dengan kawasan bazar bermula 2 hingga 5 petang.
Selain itu, beliau berkata bazar berkenaan ibarat jalan pintas kepada pelanggan iaitu mereka boleh terus membeli barang keperluan raya di satu ruang khas yang disediakan tanpa perlu berjalan ke setiap bahagian di dalam kompleks itu.
“Rata-rata peserta reruai adalah pemborong kami sendiri di mana mereka telah manapis produk raya yang bersesuaian atau setara di pasaran untuk dijual dengan harga lebih istimewa,” katanya.
– BERNAMA