Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Cadang Adun Muda Selangor diwujudkan semula, ubah persepsi anak muda dalam politik

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan semula program Adun Muda Selangor bagi menarik minat golongan itu menceburi politik.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim berkata pihaknya melihat inisiatif itu mampu mengubah persepsi anak muda mengenai dunia politik.

“Program ini sangat baik sebab saya salah seorang daripada alumni program ini yang sememangnya memberi kesan pada anak muda.

“Kita perlu ajar anak muda tentang politik bahawa ia bukan persepsi dan fitnah tetapi satu tanggungjawab seperti dalam dewan ini jika berbahas perlu dengan fakta,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2023 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Berikutan itu, beliau memaklumkan sudi bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengembalikan semula program Adun Muda Selangor.

Dalam pada itu, Muhammad Izuan menjelaskan kerjasama baik antara wakil rakyat dan agensi kerajaan mampu menjadikan pentadbiran negeri lebih baik.

“Kerjasama pejabat wakil rakyat dan agensi kerajaan sangat penting. Tanggungjawab bangunkan Selangor bukan semata-mata di bahu Dato’ Menteri Besar, EXCO atau wakil rakyat.

“Hendak bangunkan Selangor perlu kerjasama penjawat awam dan wakil rakyat kawasan masing-masing,” katanya.

Bertitah dalam Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15, Sultan Selangor menasihati penjawat awam negeri ini untuk membuat anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kerenah birokrasi dan peraturan menyusahkan dalam urusan kerajaan perlu dikurangkan bagi mempercepat urusan perkhidmatan kepada rakyat.

Baginda juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak terus mengamalkan sikap lalai dan malas sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.


Pengarang :