Gambar hiasan pelbagai matawang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dalam proses pemulihan, beri ruang kerajaan naikkan ringgit

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan persekutuan masih dalam proses pemulihan bagi menaikkan nilai ringgit selain mengurangkan kadar inflasi.

Justeru Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari meminta pihak pembangkang memberi ruang kepada Putrajaya menangani isu tersebut.

“Dua taklimat yang saya hadiri dengan institusi perbankan, secara konsisten institusi tersebut menganggarkan ringgit boleh cecah pada angka sekitar 4.4 hingga 4.2 pada akhir tahun ini.

“Negara dalam proses pemulihan dan belum sebetul-betulnya lengkap dan dipulihkan,” katanya ketika Perbahasan Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Tambah Dato’ Menteri Besar, kerajaan juga berjaya mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus yang disifatkan masih lagi rendah.

“Hari ini ringgit telah turun kepada US$1 bersamaan RM4.70.

“Kita juga berjaya mengurangkan kadar inflasi sebagai mana pengumuman oleh menteri ekonomi,” katanya.

Amirudin menjelaskan kadar inflasi pada 2022 adalah lima dan hingga peratus, sedangkan hari ini kadarnya di bawah dua hingga tiga peratus.

“Ini merupakan satu pencapaian di samping kita usaha meningkatkan ringgit,” katanya lagi.

Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada mesyuaratnya hari ini.

Mengenai inflasi, bank pusat itu berkata kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada Januari 2024, selari dengan jangkaan.

Bagi ringgit pula, BNM berkata walaupun asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.


Pengarang :