Pasukan penyelamat menggerakkan operasi selepas dua kanak-kanak dilaporkan lemas di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada 2 Mac 2024. Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu
AGENDANASIONAL

Dua kanak-kanak lemas, seorang selamat ketika mandi di pantai Teluk Lipat

DUNGUN, 2 MAC: Kegembiraan tiga rakan mandi di Pantai Teluk Lipat di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun yang juga Komander Operasi Shahrizal Shamsudin berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Mohammad Atiff Farrdugi Zainudin, 11, dan Muhammad Danish Mikail Abdullah, 9, ditemukan lemas manakala rakan mereka Ahmad Azril Farhan Mat Zain,11, selamat.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.22 petang dan 22 anggota dari BBP Dungun, BBP Chukai dan BBP Kuala Berang bergegas ke lokasi bersama tiga jentera.

“Apabila sampai di lokasi, kita terima maklumat daripada orang awam bahawa tiga kanak-kanak tersebut mandi di pantai sebelum dua daripada mereka disyaki lemas dan seorang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizal berkata Mohammad Atiff Farrdugi ditemukan 4.55 petang disusuli penemuan Muhammad Danish Mikail 6.24 petang masing-masing pada jarak kira-kira 150 dan 300 meter dari lokasi mereka disyaki lemas.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian ditamatkan 6.50 petang tadi.

– BERNAMA


Pengarang :