Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid (kanan) menunjukkan pelbagai barang kemas, beg tangan dan peti besi, hasil rampasan daripada penahanan empat individu yang disyaki terlibat kes pecah rumah pempengaruh pada 4 Mac 2024 di Padang Balang, Sentul Kuala Lumpur. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat jongkong emas bernilai RM1 juta ditemukan di dasar sungai

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Polis menemukan semula peti besi yang mengandungi empat jongkong emas milik seorang pempengaruh, yang “disembunyikan” di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor, hasil penahanan empat individu 5 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua suspek iaitu seorang lelaki dan tiga wanita berumur antara 22 hingga 36 tahun itu ditahan di Batu Pahat oleh pasukan khas D4 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum diserahkan kepada polis Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

“Hasil penahanan itu, suspek lelaki membawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak polis ke Sungai Sembrong di Batu Pahat pada Selasa lepas dan hasilnya, polis menemukan semula peti besi pengadu yang mengandungi empat jongkong emas bernilai RM1 juta.

“Selain jongkong emas, pihak polis juga menemukan semula beberapa barang pengadu yang dilaporkan hilang antaranya 15 utas rantai emas, 14 utas gelang emas, cincin emas, tujuh beg tangan, loket emas dan wang tunai di sebuah rumah di Batu Pahat.

“Keseluruhan barangan yang ditemukan dianggarkan bernilai RM2.1 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek utama mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, selain kesemua suspek dipercayai aktif terlibat dalam kes pecah rumah di Selangor dan Kelantan dengan menyasarkan kediaman ahli perniagaan atau pempengaruh media sosial.

Keempat-empat suspek kini dilanjut reman selama sembilan hari hingga 25 Mac ini.

Pada 4 Mac, media melaporkan usahawan wanita yang juga pempengaruh media sosial berputih mata apabila sebuah peti besi keselamatan miliknya yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM3 juta, dicuri dalam kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah dilaporkan berkata dalam kejadian antara 10 hingga 12 tengah malam itu, turut dilarikan beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barang kemas milik ahli keluarga wanita berusia 43 tahun itu yang dianggarkan kira-kira RM3.5 juta.

– BERNAMA


Pengarang :