AGENDANASIONAL

Empat maut kemalangan kereta bertembung di Kuala Krai

KUALA KRAI, 2 MAC: Seorang lagi kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini hari ini meninggal dunia di hospital, menjadikan angka korban nahas itu kepada empat orang, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Kamarulzaman Harun.

Beliau berkata Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu meninggal dunia 3.15 petang tadi ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Kamarulzaman berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta jenis Nissan March dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu masuk ke laluan kereta Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menghala Gua Musang sehingga menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung.

“Dalam kejadian ini, tiga mangsa di dalam Perodua Myvi maut di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa (dalam Perodua Myvi) menerima rawatan di Hospital Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemudian seorang daripada dua mangsa dalam Perodua Myvi itu meninggal dunia di hospital sementara mangsa yang terselamat dirawat di Zon Kuning hospital sama.

Dua mangsa yang berada di dalam kereta jenis Nissan March iaitu pemandu yang parah dan penumpang pula cedera.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :