Petugas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menangkap haiwan ternakan terbiar yang dilepaskan di kawasan larangan pada 28 Oktober 2022. Foto Facebook MPKL
EXCOSELANGOR

EXCO: Negeri kaji enakmen ternakan dibiar berkeliaran, cadang naikkan denda

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri akan meneliti enakmen sedia ada bagi kawalan aktiviti ternakan yang dibiar berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

EXCO Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata enakmen itu akan disemak berikutan isu berkenaan dianggap kritikal sehingga mengancam keselamatan awam.

“Saya juga akan semak enakmen tersebut, mungkin denda yang ada terlalu kecil, kita akan perincikan untuk naikkan denda. Kalau tidak nanti tuannya abaikan jaga lembu,” katanya pada Sidang Dewan Negeri di sini, hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Sungai Pelek Lwi Kian Keong berhubung dasar pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah ternakan yang dibiarkan berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan.

Suee Lim menambah PBT mengambil tindakan mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 yang memperuntuk denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga 12 tahun atau kedua-duanya.

Jelasnya tindakan perundangan juga boleh diambil pejabat daerah dan tanah bawah Seksyen 427 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda RM100.


Pengarang :