EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Program Sehat ditambah baik, tawar subsidi rawatan psikiatri, psikologi

SHAH ALAM, 5 MAC: Kerajaan Negeri menambah baik program Selangor Mental Sihat (Sehat) dengan memperkenal rawatan psikologi klinikal sejak Oktober tahun lalu.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata subsidi rawatan psikiatri dan psikologi antara usaha memperkasa aspek penjagaan kesihatan mental dalam kalangan penduduk negeri ini.

“Kerajaan Negeri mementingkan penjagaan kesihatan mental yang baik dan berkesan dengan memperkenal program SEHAT sejak tahun 2021.

“Bermula tahun 2022, Kerajaan Negeri telah menambah baik program SEHAT dengan memperkenalkan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi kepada individu memerlukan rawatan.

“Manakala, subsidi rawatan psikiatri ini juga telah diperluas kepada psikologi klinikal pada Oktober tahun 2023,” katanya ketika sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :