EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) pada majlis pecah tanah Hab Lojistik PTT 1 di PTT Synergy Group Berhad, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 24 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor sasar jadi hab logistik di rantau Asean

SHAH ALAM, 24 MAC: Kedudukan strategik Selangor menjadikan negeri ini berpotensi berkembang sebagai hab logistik terbaik di Asia Tenggara.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata ketika ini permintaan terhadap industri berkenaan amat tinggi berikutan Selangor menjadi tumpuan bagi perdagangan utama negara.

“Sejujurnya industri logistik masih belum memadai di Selangor kerana kita bukan setakat pasarkan barang di negeri ini tetapi juga untuk negeri-negeri lain dan juga pasaran antarabangsa.

“Kita tidak ada sebarang sasaran tetapi kita mahu jadikan Selangor sebagai hab logistik kerana kita mempunyai lokasi strategik. Malahan industri itu juga semakin berkembang saban tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah gudang PTT Logistics Hub 1 di pusat galeri pameran PTT Synergy Group Berhad di Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Pembinaan bernilai 150 juta itu dijangka siap pada suku keempat tahun hadapan meliputi kawasan seluas 1.49 hektar di Taman Perniagaan Elmina, Sungai Buloh.

Gudang pintar tersebut juga berfungsi secara automatik sepenuhnya sekali gus tidak menggunakan perkhidmatan pekerja warga asing dan dapat meningkatkan produktiviti.

Sze Han turut mengalu-alukan lebih ramai pelabur ke Selangor mengguna pakai teknologi penuh dalam industri masing-masing bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja warga asing.

“Cabaran di hadapan kita adalah kekurangan pekerja dan kita terpaksa import warga asing. Dengan adanya kilang pintar, kita boleh selesaikan masalah itu dan tambah baik produktiviti.

“Apabila produktiviti bertambah baik, kita boleh tingkatkan gaji pekerja dan inilah hasrat Kerajaan Negeri. Kedua-duanya saling berhubung,” katanya.


Pengarang :