Skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan menghadapi Piala Asia 2023 di Universiti Qatar pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

FAM henti sementara program naturalisasi pemain skuad kebangsaan

SHAH ALAM, 4 MAC: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghentikan program naturalisasi pemain bola sepak profesional buat sementara waktu bagi memberi peluang pemain tempatan beraksi bersama skuad kebangsaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata kelab atau negeri yang bernaung di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program berkenaan mengikut tatacara yang ditetapkan kerajaan.

“Sebanyak empat pemain naturalisasi dan tujuh pemain warisan mempunyai pertalian darah warga Malaysia pada Kejohanan Piala Asia di Doha.

“Pemain naturalisasi mewujudkan persekitaran yang positif dan memberi saingan kepada pemain tempatan untuk disenaraikan dalam 11 pemain utama skuad kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata ketika menjawab soalan Jimmy Puah (HARAPAN-Tebrau) pada Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Adam memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama FAM komited meningkatkan prestasi sukan tersebut melalui program pembangunan bola sepak negara sejak 2014.

“Program ini memfokuskan peringkat umur dari tujuh hingga 17 tahun. Ia merupakan Pelan Strategik Jangka Panjang yang digariskan melalui sembilan inisiatif bagi menghasilkan pemain bola sepak bersaing di peringkat Asia hingga layak ke Piala Dunia.

“Sehingga kini, program pembangunan ini mempunyai seramai 16,228 pemain, 767 jurulatih dari 63 Akademi Tunas, 14 buah sekolah sukan negeri, Sekolah Sukan Malaysia dan sebuah Akademi Mokhtar Dahari,” katanya.


Pengarang :