AGENDANASIONAL

Hargai pendeposit di musim raya, PTPTN tawar wang tunai RM100,000

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 kepada 181 pemenang Kempen WOW! Syoknya Raya 2024 bagi menghargai pendeposit yang membuat simpanan pada musim perayaan.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kempen yang bermula hari ini hingga 30 April itu membolehkan pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) merebut peluang berkenaan.

“Kempen ini dibuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus dengan menawarkan RM10,000 sebagai hadiah utama untuk satu pemenang serta hadiah sagu hati berjumlah RM500 kepada 180 pemenang.

“Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen dan kelebihan turut diberikan kepada pengguna myPTPTN yang akan mendapat cabutan berganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata untuk Simpan SSPN Prime, pendeposit akan mendapat satu cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak memperoleh dua cabutan secara automatik.

Sementara itu, pendeposit Simpanan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau secara debit terus, akan mendapat lima cabutan.

“Pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui kaedah sama pula akan mendapat 10 cabutan,” katanya.

Norliza berkata sepanjang tempoh pengekalan dari 1 hingga 31 Mei ini, pendeposit perlu memastikan akaun mereka kekal aktif, tidak mempunyai sebarang tunggakan sehingga tarikh cabutan serta tidak membuat pengeluaran mahupun pindahan simpanan daripada mana-mana akaun yang didepositkan dalam tempoh kempen.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang PTPTN menerusi www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut dan melakukan urusan pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN melalui aplikasi myPTPTN.

-BERNAMA


Pengarang :