Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Selangor berjaya dibawa naik dan dihantar ke Stesen Udara Maritim Subang pada 3.30 pagi, 6 Mac 2024. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

Helikopter AW139 dibawa naik tengah malam tadi sebelum dihantar ke Subang

PUTRAJAYA, 6 MAC: Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Selangor semalam, berjaya dibawa naik dengan bantuan syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi itu 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dalam kenyataan berkata pesawat itu kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata helikopter dengan nombor pendaftaran M72-01 merupakan satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara APMM yang diterima daripada kerajaan pada 2010.

“Mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, OpRedback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, pesawat itu juga banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (carilamat) yang dikoordinasikan APMM,” katanya.

Beliau berkata pesawat itu juga digunakan untuk menyelamatkan lima pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada 2022.

Helikopter itu katanya juga sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan pendaratan paksa dan terbaharu ialah kejayaan membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia tahun lalu.

“Sepanjang 14 tahun perkhidmatan bersama APMM, pesawat itu turut terlibat beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara,” katanya.

Berhubung pendaratan cemas semalam, beliau berkata empat kru termasuk juruterbang yang terlibat dilaporkan stabil dan selamat.

“Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan APMM semalam,” katanya yang memohon agar mereka diberikan ruang dan tidak diganggu mana-mana pihak.

Semalam, Hamid menerusi kenyataan mengesahkan helikopter jenis AW139 kendalian APMM melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi.

– BERNAMA


Pengarang :