EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap pada majlis perasmian Pusat Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 14 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kempen bebas beg plastik, polisterin dipertingkatkan, didik masyarakat pelihara alam sekitar

PETALING JAYA, 14 MAC: Kerajaan Negeri memperbanyak kempen kesedaran bebas beg plastik dan polisterin dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, kata EXCO Alam Sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu adalah untuk memberi didikan kepada masyarakat pentingnya penjagaan alam sekitar jika dua barangan itu dikurangkan penggunaannya.

“Kerajaan Negeri lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran kerana mahu masyarakat tidak menggunakan dua barangan ini lagi. Pada masa sama, kita sedar tiada enakmen khas berhubung larangan penggunaan barangan ini.

“Sehubungan itu, kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang negeri berhubung mewujudkan enakmen khas bagi larangan penggunaan barangan ini. Kita perlu berbincang dengan banyak pihak termasuk pemain industri dan pihak berkuasa tempatan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin (tengah) mendengar taklimat Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Kharaj Balasubramaniam (kiri) ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Assunta Wilson Choo (kanan) ketika melawat bilik pemeriksaan ultrasound bayi selepas majlis perasmian Pusat Obstetrik dan Ginekologi Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 14 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Keputusan perbincangan kemungkinan dimaklumkan akhir tahun ini kerana prosesnya agak rumit selain banyak isu perlu dilihat satu persatu,” katanya ditemui selepas merasmikan pusat obstetrik dan ginekologi Hospital Assunta di sini, hari ini.

Tambahnya, perbincangan berhubung menaikkan kadar caj penggunaan beg plastik daripada 20 sen juga akan dibincangkan selain memfokuskan penggunaan plastik kitar semula.

Dalam perkembangan berasingan, Jamaliah yang juga EXCO kesihatan awam turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berjaga-jaga melakukan aktiviti di luar ketika musim panas dan cuaca kering pada masa ini terutama sepanjang Ramadan.

“Kerajaan sentiasa memeriksa dan memantau keadaan cuaca terkini dengan Jabatan Alam Sekitar. Buat masa ini, mereka memaklumkan keadaan tidak begitu kritikal tetapi masyarakat tetap perlu berjaga-jaga.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri dan kita mempunyai pelan tertentu di bawah EXCO masing-masing dalam menghadapi musim panas termasuk infrastruktur dan bencana,” katanya.

Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius diramal di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh tujuh hari ke hadapan.


Pengarang :