Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kerajaan Negeri dicadang tawar pembelian vaksin kepada panel klinik Peduli Sihat

SHAH ALAM, 1 MAC: Wakil rakyat Bandar Baru Klang mencadangkan Kerajaan Negeri menawarkan pembelian vaksin dan ubat kepada panel klinik Peduli Sihat.

Dr Quah Perng Fei berkata tawaran itu mungkin boleh dibuat secara berpusat berikutan kos perubatan yang kian meningkat mencecah sehingga 25 peratus.

“Saya mencadangkan kerajaan untuk menawarkan pembelian vaksin dan ubat-ubatan kepada panel Klinik Peduli Sihat secara berpusat.

“Pemesanan dalam jumlah kuantiti yang banyak secara langsung dapat mengurangkan kos perubatan. Oleh itu, klinik panel boleh mendapatkan akses terhadap ubat-ubatan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Diperkenal pada 2 Julai tahun lalu, Iltizam Sihat Selangor (ISS) menyasar 100,000 penduduk menerima manfaat membabitkan peruntukan RM67 juta bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS yang membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.

Setiap pemegang polisi ISS layak mendapat rawatan asas dan vaksinasi RM500 setahun bagi kategori keluarga manakala individu RM250 setahun di mana-mana panel klinik seluruh negeri.


Pengarang :