Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri) bergambar ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga antara Kerajaan Negeri, Tenaga Nasional Berhad dan Worldwide Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie, TNB Bangsar ada 5 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings, TNB sepakat teroka tenaga lestari, capai sifar karbon

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga di Selangor.

Memorandum itu juga membuka peluang perniagaan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, tidak boleh diperbaharui dan lestari sekali gus menyokong matlamat pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perjanjian itu sebahagian pelengkap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk membina negeri dan negara yang bukan saja maju daripada segi ekonomi tetapi juga mampan serta berdaya huni.

“Ia (antaranya) menjurus kepada projek Taman Suria Berpusat (CSP) yang akan dibangunkan merentasi beberapa negeri dan di Selangor kita melihat kawasan Hulu Bernam (antara yang sesuai).

“Pelbagai lagi kerjasama lain boleh dikembangkan menerusi perjanjian pintar ini bagi memastikan infrastruktur lebih cekap daripada segi penggunaan tenaga,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga di Selangor di Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie, TNB Bangsar pada 5 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim mewakili Kerajaan Negeri manakala WHB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Paduka Norazlina Zakaria dan TNB diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Ia disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Amirudin.

Sementara itu TNB menerusi kenyataan berkata kerjasama strategik itu menandakan komitmen kolektif untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga mesra alam.

Katanya MoU ini menterjemahkan komitmen TNB memacu tenaga boleh baharu berskala besar dan inisiatif teknologi bersih yang diamanahkan kepada TNB melalui dua projek NETR iaitu ladang solar berskala besar dan hibrid solar terapung hidro.

“Skop kerjasama ini juga tidak terhad kepada ladang solar tetapi turut merangkumi projek berkaitan tenaga solar serta pemasangan dan operasi infrastruktur pengecas kenderaan elektrik.

“Ia juga akan membuka peluang penerokaan projek tenaga lain yang berkaitan seperti pembangunan sistem simpanan tenaga bateri, kecekapan tenaga selain program kemahiran,” katanya.


Pengarang :