Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja di Parlimen pada 23 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tekad terus martabat, pelihara bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan tekad untuk terus memartabat dan memelihara taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri pendidikan berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menjamin perkara itu termasuk penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan olehnya.

“Jawatankuasa ini dianggotai semua kementerian dan Kerajaan Negeri yang bertindak memantau penggunaan bahasa kebangsaan di semua peringkat jabatan dan agensi kerajaan serta sektor berdampak tinggi.

“Saya beri penegasan selagi saya menjadi Menteri Pendidikan, bahasa Melayu tidak akan ditindas dan akan sentiasa dimartabat di mana saja kita berada selagi di bawah langit dan bumi Malaysia.

“Saya telah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada program dan inisiatif untuk kita sama-sama memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu,” kata Fadhlina Sidek dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya hari ini berkata di peringkat Kementerian Pendidikan, bahasa Melayu menjadi kewajipan besar dan komitmen seluruh pasukannya.

“Ini untuk pastikan anak-anak kita khususnya dapat berbahasa Melayu dengan baik. Usaha ini termasuk sistem penarafan bintang bahasa kebangsaan menilai tahap dan mutu penggunaan bahasa kebangsaan bagi sektor awam .

“Sistem penarafan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap negeri dan Bank Negara Malaysia,” katanya.


Pengarang :