Skrin telefon pintar memaparkan ikon beberapa aplikasi media sosial. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan tiada hasrat tutup media sosial, jalin kerjasama dengan penyedia platform

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan ketika ini tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial, kata Menteri Komunikasi.

Fahmi Fadzil dalam sidang Dewan Rakyat hari ini berkata kerjasama lebih baik daripada pihak penyedia platform media sosial diperlukan dalam menangani beberapa perkara terutama soal keselamatan dalam talian.

“Pada waktu ini kerajaan tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial tetapi kita percaya kita perlukan kerjasama yang lebih baik daripada (penyedia) platform ini.

“Ada beberapa langkah sedang dipertimbang untuk memastikan sekiranya ada isu seperti keselamatan dalam talian (libatkan) kanak-kanak terutamanya serta isu bahan pornografi atau masalah (jualan) produk yang mungkin tidak patut.

“Jadi ada beberapa perkara ini sedang diteliti dan kita akan tangani dengan lebih menyeluruh,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar yang ingin tahu pendirian kerajaan untuk menutup mana-mana platform media sosial berikutan soal keselamatan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada 20 Februari 2023. Foto BERNAMA

Fahmi berkata kerjasama lebih baik daripada penyedia platform media sosial diperlukan serta undang-undang lebih padu atau sesuai dengan keperluan sekarang.

“Ini akan dapat membantu ekonomi negara dan rakyat negara meraih manfaat daripada penggunaan platform ini.

“Bagaimanapun kita mengambil maklum ada sejumlah negara seperti India yang TikTok telah ditutup sejak lima hingga enam tahun lalu dan di China tidak wujud langsung TikTok manakala Amerika Syarikat pula isunya lebih kepada pemilikan data bukan aplikasi semata-mata,” katanya.

Sementara itu Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin yang ingin tahu usaha kerajaan meningkatkan keselamatan infrastruktur digital negara katanya kementeriannya menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan data dan infrastruktur digital negara selamat.

“Kita sentiasa komited melaksanakan tindakan yang perlu bersama semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh kawalan keselamatan siber demi memastikan tahap ancaman keselamatan siber negara dalam keadaan terkawal.

“Pelbagai program juga dilaksanakan bagi menarik dan membina kepakaran keselamatan siber termasuk kerjasama dengan universiti dan syarikat swasta dalam melatih kepakaran,” katanya.


Pengarang :