Peniaga melakukan kerja pembersihan selepas banjir surut di sekitar Jalan Dato Sia Her Yam, Bandar seberang, Segamat pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerugian akibat banjir seluruh negara tahun lalu cecah RM800 juta

PUTRAJAYA, 11 MAC: Jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir di Malaysia pada tahun lepas ialah RM0.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah kerugian itu bersamaan dengan 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.

Dalam kenyataan bersempena dengan laporan khas impak banjir di Malaysia 2023 yang dikeluarkan DOSM hari ini, beliau berkata kajian berkenaan bertujuan menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir yang melanda negara pada tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto BERNAMA

“Kerugian ini meliputi nilai kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian. Bagi jumlah kerosakan industri pertanian dan aset awam dan infrastruktur, data daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan digunakan,” katanya.

Mohd Uzir berkata tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM168.3 juta pada 2023 berbanding RM157.4 juta pada 2022, manakala kerugian kenderaan ialah RM22.3 juta (2022: RM18.8 juta), pembuatan RM10.3 juta (2022: RM8.7 juta).

Bagi premis perniagaan, jumlah kerugian dicatatkan RM53.2 juta (2022: RM50.3 juta), pertanian RM120.6 juta (2022: RM154.5 juta) serta aset awam dan infrastruktur RM380.7 juta (2022: RM636.8 juta).

Beliau berkata dari segi tempat kediaman, Johor mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM121.9 juta, diikuti Kelantan RM15.4 juta dan Sabah RM11 juta.

Bagi Johor, daerah yang merekodkan kerugian tertinggi ialah Batu Pahat iaitu RM89.2 juta, diikuti Segamat (RM18.3 juta) dan Muar (RM7.1 juta).

Mohd Uzir berkata tiga negeri yang melaporkan kerugian paling tinggi dari segi kenderaan ialah Johor sebanyak RM15.9 juta, Selangor (RM1.8 juta) dan Sabah (RM1.6 juta).

– BERNAMA


Pengarang :