Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) seluruh negara yang direkodkan pada 11 pagi, 14 Mac 2024. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar
AGENDANASIONAL

Kimanis alami kualiti udara tidak sihat, Papar diisytihar kawasan bencana

PAPAR, 14 MAC: Kimanis, sebuah kawasan dalam daerah Papar, menjadi satu-satunya kawasan yang mempunyai kualiti udara tidak sihat di Sabah setakat 11 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Kimanis iaitu kira-kira 62 kilometer dari sini menerima bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 155 iaitu bacaan tidak sihat.

Keadaan itu berikutan beberapa insiden kebakaran hutan dan belukar minggu ini.

Di samping itu, Papar juga sedang mengalami kemarau sejak beberapa minggu lalu menyebabkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Papar mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana bermula semalam.

Jabatan Alam Sekitar mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka yang akan memburukkan kualti udara ketika cuaca panas sedang melanda.

Sementara itu Facebook Jabatan Alam Sekitar melaporkan 10 stesen udara di seluruh negara menunjukkan status kualiti udara baik, 57 stesen sederhana dan satu tidak sihat iaitu Kimanis setakat 11 pagi tadi.

– BERNAMA


Pengarang :