Kakitangan Heliosel membuat pemantauan pada panel solar ketika Majlis pelancaran program Tenaga Boleh Diperbaharui untuk Air (RENEW) dan Kecekapan (Energy Efficiency) Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kos pemasangan sistem solar menurun, lebih 16,000 pengguna domestik terima manfaat

SHAH ALAM, 6 MAC: Lebih 16,000 pengguna domestik dengan jumlah kuota 120 megawatt (MW) menerima manfaat daripada inisiatif pemasangan sistem solar mampu milik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kos purata bagi pemasangan sistem solar PV menyaksikan penurunan kira-kira 50 peratus melalui pelaksanaan Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

Fadillah menjelaskan penurunan kos itu menjadikan pemasangan sistem solar yang sebelum ini hanya mampu dilakukan golongan berpendapatan tinggi (T20) pada awal program, kini diperluaskan kepada golongan berpendapatan menengah (M40).

“Kos purata bagi pemasangan sistem solar PV menurun secara signifikan iaitu kepada sekitar RM12,000 hingga RM15,000 bagi sebuah rumah teres secara umumnya berbanding RM24,000 hingga RM30,000 pada 2011.

“Kos RM40,000 ke RM50,000 melibatkan pemasangan rumah Semi-D dan banglo berbanding RM80,000 ke RM120,000 pada 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (HARAPAN-Bentong) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata 235 syarikat sudah berdaftar sebagai Registered Solar PV Investor (RPVI) dengan SEDA Malaysia sehingga Disember 2023.

“235 syarikat ini juga menawarkan model langganan kos modal sifar bagi rumah kediaman.

“Ia membolehkan syarikat tersebut menguruskan pemasangan serta pembiayaan sistem solar yang menawarkan pilihan kaedah pembayaran secara ansuran atau langganan kos modal sifar kepada pengguna,” katanya.


Pengarang :