SHAH ALAM, 4 MAC: Sebanyak 60,843 unit Rumah Selangorku dilancarkan kepada orang ramai antara 2014 hingga 31 Januari lalu, dengan 37,008 unit siap dibina dan diserahkan kepada pembeli.
EXCO Perumahan Borhan Aman Shah dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) memaklumkan baki unit sedang dalam pembinaan, dengan sasaran 5,997 unit lagi bakal siap tahun ini.
“Oleh itu, sasaran pembinaan 200,000 unit menjelang 2029 akan dapat dicapai kerana rekod bilangan Rumah Selangorku yang mendapat kelulusan melebihi 60,000 sehingga Januari lalu,” katanya.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran yang ingin tahu status pembinaan 200,000 Rumah Selangorku yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar perumahan mampu milik dilaksana bagi memastikan setiap rakyat memiliki kediaman selesa dan selamat.