Pelajar mengambil makanan yang disalurkan melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lebihan makanan bazar diagih elak bazir, sisa pepejal dibersih

Ramadan, bulan dibanjiri pelbagai jenis makanan. Peniaga berlumba-lumba menjual aneka menu. Ribuan juadah tersedia di bazar.

Namun tanpa sedar, statistik menunjukkan sisa bazar Ramadan terbuang hampir 80 tan metrik sehari di Selangor pada tahun lalu.

Juadah berbuka tidak terjual itu menambah jumlah sampah domestik 7,000 tan metrik sehari yang dikutip pada bulan biasa.

Peningkatan mendadak direkodkan pada 2023 apabila 73.67 tan metrik sampah bazar Ramadan dibuang sehari berbanding 50.78 tan metrik pada 2022.

Sementara tahun ini jumlah sisa bazar tetap meningkat, namun tidak ketara seperti tahun sebelumnya. Hanya 2.8 peratus kenaikan dicatatkan menjadikan 75.72 tan metrik sampah dibuang sehari.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM) Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata hasil pemantauan mendapati ada peniaga mula sedar.

“Setakat ini hasil pemantauan kami mendapati penjual semakin peka kerana sampah yang dibuang membabitkan sisa makanan sahaja.

“Kita sudah jarang nampak sampah yang dibuang seperti kuih atau lauk pauk,” katanya kepada Selangorkini pada 18 Mac.

Kesedaran peniaga

Kesedaran dalam kalangan peniaga itu juga antara usaha yang digerakkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program MBSA MySaveFood @Bazar Ramadan.

Bermula sejak 2021, sekumpulan kecil sukarelawan cuba menyelamatkan ratusan kilogram makanan daripada terus dibuang.

Setelah tiga tahun dilaksana, 6,108 kilogram (kg) makanan tidak dijual dari tujuh bazar Ramadan dikumpulkan.

Inisiatif Jabatan Kebersihan dan Kelestarian Sisa MBSA itu awalnya tertumpu di bazar Seksyen 17 Shah Alam dengan rekod pengumpulan 855.4kg makanan.

Tahun-tahun berikutnya, usaha diluaskan ke tiga bazar dengan rekod 2,294.4kg makanan dan 2023 dengan catatan pengumpulan 2,958.6kg.

Berjaya menyelamatkan enam tan metrik sampah, statistik kutipan sampah sehari bagi kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) MBSA juga menurun.

Pada 2022, MBSA merekodkan 10.64 tan metrik sisa makanan dikutip setiap hari, namun turun kepada 8.89 tan metrik pada 2023.

“Walaupun usaha ini kecil kerana hanya babitkan tiga tapak bazar, namun ia mampu beri impak yang kuat. Oleh itu kepada peniaga, sebaiknya sedia juadah secukupnya. Tahun ini seramai 444 sukarelawan menyertai program berlangsung dari 14 Mac hingga 3 April. Kita tumpu di bazar Seksyen 13, 17 dan 19.

“Hari pertama saja kita sudah kumpulkan 429.76kg lebihan makanan, pada kami jumlah ini sangat besar kerana baru hari pertama,” kata Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Jabatan Kebersihan dan Kelestarian Sisa MBSA Nor Fazliena Adleen Ahmad.

Sukarelawan menyusun makanan tidak habis terjual melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di bazar Ramadan Stadium Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jelasnya lagi, menjelang waktu berbuka, makanan tidak berjaya dijual akan dihantar ke khemah MBSA MySaveFood. Di situ setiap juadah diterima akan ditimbang.

Malah dibungkus semula dengan rapi sebelum diedar kepada golongan kurang mampu. Pelekat dipasang sebagai peringatan supaya penerima makan dalam tempoh dua jam.

“Sebolehnya kami tidak mahu ada yang keracunan makanan jika makan terlalu lewat. Orang ramai juga diminta supaya sentuh dan hidu juga, bimbang ada makanan sudah basi,” katanya.

Selain diedar ke masjid dan surau. Lebihan makanan itu turut diedarkan ke perumahan kos rendah dan kolej kediaman pelajar.

Nor Fazliena menegaskan selain berjaya mengurangkan pembaziran makanan, MBSA MySaveFood bantu tangani kos sara hidup rakyat.

“Dari pengalaman kami, mereka sangat hargai makanan yang diterima dan peniaga secara langsung dapat bersedekah.

“Tetapi kami pesan pada peniaga supaya jangan sedia makanan berlebihan kerana ada juga kalangan mereka suka membantu sehingga sanggup buat makanan lebih. Sedangkan kami hanya mahu lebihan makanan,” katanya lagi.

Elak bazir

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut menggerakkan usaha elak pembaziran makanan pada tahun ini. PBT itu merekodkan antara lokasi tapak bazar Ramadan paling banyak di Selangor.

“Kempen Jom Makan Sampai Habis merupakan kempen memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak melakukan pembaziran ketika berbelanja dan mengurangkan penghasilan sisa makanan,” kata PBT itu dalam kenyataan.

Mengikut statistik KDEBWM pada 2023, bazar Ramadan seliaan PBT iaitu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merekodkan sisa sampah paling banyak dikutip dalam sehari iaitu 17.93 tan metrik.

Diikuti Majlis Perbandaran Kajang (16.1 tan metrik), MPS (13.48 tan metrik), Majlis Bandaraya Subang Jaya (10.99 tan metrik) dan 8.89 tan metrik seliaan MBSA.

Bertanggungjawab mengendalikan kutipan sampah di 175 lokasi dengan 10,817 tapak niaga di seluruh negeri, KDEBWM menyediakan hampir 900 pekerja pembersihan pada Ramadan kali ini.

Petugas kebersihan mengutip sampah ketika kutipan sampah oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengurus Besar Operasi KDEBWM Mohd Idris Mohamed Yusof berkata kerja pengumpulan sisa makanan bermula jam 8 hingga 10 malam. Ada tapak bazar Ramadan yang selesai dibersih dalam tempoh sejam sahaja.

“Kita kena selesaikan kerja pembersihan secepat mungkin kerana banyak laluan tapak bazar adalah laluan penting. Lagi cepat kerja selesai, lebih bagus,” katanya.

Namun masih ada masalah dikesan berlaku di beberapa lokasi. Peniaga culas membuang air sampah di tempat sepatutnya.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan ada bazar yang berbau busuk walaupun sudah dibersihkan.

“Peniaga tidak boleh mencurah air sisa makanan ke jalan raya mahupun ke longkang begitu sahaja. Memang pada waktu itu kita tidak bau apa-apa.

“Tapi dua hingga tiga jam kemudian, bau busuk mula naik. Jadi orang sekeliling pun tak selesa, kalau boleh kita kena jaga kebersihan betul-betul,” tambahnya.

Selesai kutipan, sampah dibawa ke Tapak Pelupusan Sanitari Jeram Kuala Selangor, Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung 12 Sepang dan Tapak Pelupusan Bukit Tagar Hulu Selangor.

Bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal di Selangor, KDEBWM menegaskan supaya orang ramai terus berhemah ketika membeli juadah berbuka.

“Jangan membazir, beli yang perlu supaya tidak berlaku pembaziran makanan yang akhirnya akan memenuhi tong-tong sampah dan pusat-pusat pelupusan.

“Jika makanan yang ada pembungkus kertas, dan sebagainya, belajarlah asingkan sampah tersebut,” tegas Mahfuzah lagi.

 


Pengarang :