AGENDAJENAYAH

Lelaki ditemukan maut selepas empat hari hilang, kereta terjunam dalam cerun

GEORGE TOWN, 12 MAC: Lelaki warga Singapura yang hilang sejak empat hari lalu ditemukan maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam cerun setinggi 45 meter di kawasan bukit Jalan Paya Terubong ke Relau.

Mangsa berusia 29 tahun itu ditemukan di luar kenderaannya kemungkinan terpelanting atau keluar sendiri dari kenderaan, di sini hari ini.

Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Muzzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan Paya Terubong digerak ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan luka keseluruhan badan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Chew berkata, mangsa keluar dengan memandu Proton Persona milik teman wanitanya sebelum dilaporkan hilang 9 Mac lalu.

Katanya, kali terakhir mangsa menghubunginya adalah sekitar 1 pagi dan memaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Alor Vista, dekat Relau.

– BERNAMA


Pengarang :