Pemain SSS Leopard FC (tengah) cuba melepasi kawalan pemain KL Spicegals FC dalam perlawanan ketiga Liga Super Wanita di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 3 Mac 2024. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Liga Super Wanita: KL Spicegals FC kekal rekod tanpa kalah

SHAH ALAM, 5 MAC: Jaringan tunggal Marissa Aleya pada awal babak kedua membolehkan KL Spicegals FC mengekalkan rekod tanpa kalah di puncak Liga Super Wanita (WSL 2024) hujung minggu lalu.

Kemenangan 1-0 ke atas SSS Leopard FC di Arena MBSJ, Subang Jaya meletakkan pendahulu kumpulan B itu selesa mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Mengekori rapat di tangga kedua Perkemas FC yang menang bergaya 4-1 ke atas Galaxi Girls hasil jaringan Siti Nor Eliza seawal minit pertama diikuti gol Nur Farhana, Irma Aida dan Muskan Majid.

Satu lagi perlawanan kumpulan B antara SA United dan PNSB FC berkesudahan seri 1-1.

Pemain UiTM United Lioness (kanan) menghalang kemaraan Selangor FC dalam perlawanan ketiga Liga Super Wanita di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 2 Mac 2024. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor

Sementara itu, MBPJ FC berjaya meraih tiga mata pertama musim ini selepas membelasah peneraju kumpulan A FC Japan Malaysia 5-0.

Dua jaringan daripada Henrieta Justine dan Arliana Nabila diikuti satu gol oleh Nadia Roslan membolehkan MBPJ FC mengutip empat mata di kedudukan keempat liga.

Kekalahan FC Japan Malaysia itu membuka peluang kepada MBSJ FC yang beraksi kurang satu perlawanan untuk merampas takhta liga.

Shah Alam FC Swat turut mencatat kemenangan pertama selepas mudah menewaskan Sternen FC 2-0 menerusi jaringan Zureen Aliya dan Hayyq Asyiqah pada babak kedua.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, gol Nurin Umairah pada minit ke-54 berjaya membantu Selangor FC meraih mata pertama musim ini selepas bangkit mengikat UiTM United Lioness 1-1.


Pengarang :