EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim menjawab pertanyaan ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Loji Sisa Kepada Tenaga di Batu Arang dalam fasa penilaian JAS

SHAH ALAM, 5 MAC: Loji Sisa Kepada Tenaga (WTE) di bawah projek pembangunan Taman Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGE) masih dalam fasa penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata projek itu akan melalui penilaian impak alam sekitar (EIA) dan impak sosial (SIA) yang merangkumi proses menganalisis, memantau dan mengurus.

“Penilaian ini merupakan satu representasi bahawa perancangan pembangunan loji sisa kepada tenaga di Batu Arang ini dilaksana dengan teliti mengikut piawaian antarabangsa ditetapkan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perkembangan sama, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan SISGE sebagai Taman Tenaga Hijau bertaraf ‘State Of The Art’ dan tidak tertumpu kepada loji WTE sahaja.

“Selain WTE, keseluruhan pembangunan SISGE juga merangkumi pelbagai komponen pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Komponen itu meliputi pusat kitar semula, ladang solar, pusat pendidikan dan penyelidikan berkenaan tenaga hijau dan lestari serta taman rekreasi awam yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 memaklumkan pembangunan empat fasa SISGE itu menelan belanja RM4.5 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dibangunkan KDEB Waste Management Sdn Bhd, ia mampu membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 megawatt tenaga elektrik.


Pengarang :