Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kiri) menyerahkan sumbangan bencana banjir kepada wakil Pusat Pengajian Pondok Bustanul Ariffin dalam satu majlis di Kampung Labohan Dagang, Banting pada 5 Mac 2024. Foto ihsan Mais
AGENSISELANGOR

Mais serah bantuan banjir RM3 juta kepada 21 penerima

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini menyerahkan bantuan banjir berjumlah RM3 juta kepada 21 penerima yang terkesan dengan musibah itu pada 2021.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu mangsa dalam kalangan asnaf memulakan hidup baharu.

Menurutnya, seramai 20 penerima mendapat bantuan binaan rumah baharu berjumlah RM1.86 juta meliputi daerah Hulu Langat (tujuh unit), Sepang (enam), Klang (empat) dan Petaling (tiga).

“Lebihan RM1.12 juta pula bagi membaik pulih bangunan warden dan asrama serta bangunan lama di Pusat Pengajian Pondok Bustanul Ariffin, Kampong Labohan Dagang,” katanya dalam kenyataan.

Simbolik serahan disempurnakan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Ajib Ismail di Kampung Labohan Dagang, Banting.

Dalam pada itu, Ahmad Shahir menghargai usaha MAIWP yang prihatin terhadap mangsa banjir di Selangor selain bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.

 


Pengarang :