Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap ketika majlis penyampaian sumbangan Geran Tahunan Rumah Pemulihan Riqab 2024 dan sumbangan raya di Mardhiyyah Hotel, Shah Alam pada 29 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sumbang RM10.9 juta tampung kos operasi rumah pemulihan riqab

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM10.9 juta kepada 27 rumah pemulihan riqab (RPR) untuk kebajikan asnaf pusat terbabit.

Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dana itu digunakan untuk menampung kos program, pengurusan dan penjagaan asnaf riqab tahun ini.

“Melalui sumbangan ini, saya berharap proses bimbingan, pemulihan dan pendidikan kepada asnaf riqab ini dapat diperkemas dengan lebih baik lagi.

“Semoga penerima manfaat dalam kalangan asnaf riqab ini segera pulih dan kembali ke jalan Islam yang sebenarnya, insha-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Tadarus dan Iftar Perdana RPR anjuran Mais kelmarin. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Riqab Mais Tan Sri Dato’ Hashim Meon.

Penghuni Rumah Pemulihan Riqab bertadarus al Quran ketika majlis penyampaian sumbangan Geran Tahunan Rumah Pemulihan Riqab 2024 dan sumbangan raya di Mardhiyyah Hotel, Shah Alam pada 29 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Teduhan Kasih, Rumah Puteri Arafiah, Rumah Penawar Alam Jaya, Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.

Mais juga menyampaikan sumbangan RM357,000 kepada 1,190 asnaf riqab bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Sumbangan yang diagihkan menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan kembali ke pangkal jalan,” katanya.


Pengarang :