Orang ramai mengunjungi Pavilion Selangor sempena pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada 19 Mac 2023. Foto Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Matta: Tourism Selangor bawa 17 tarikan pelancongan, tumpu anjung utara

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebanyak 17 tarikan pelancongan dibawa Tourism Selangor sempena pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2024 mulai 22 hingga 24 Mac.

Berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, agensi itu turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus di taman tema, resort, tarikan eko dan agropelancongan.

Menerusi kenyataan, Tourism Selangor memaklumkan tema “Jom Balik Kampung” yang digunakan akan mencipta semula suasana sawah padi di Sekinchan di tengah bandar Kuala Lumpur yang pesat.

“Pameran tahun ini akan tertumpu kepada anjung utara Selangor, dengan Sabak Bernam dan Kuala Selangor dijangka akan menarik perhatian pengunjung,” menurutnya.

Agensi itu menambah tarikan lain termasuk bas pelancongan Hop On Hop off, Rumah Hutan Terapi Alam, GL Play, Muzium Coklat, Hotel Eastin, Avani Sepang Goldcoast Resort dan Jumpstreet Asia.

Turut diketengahkan Farm in the City, Sky Mirror, Farm Fresh @ UPM, Selangor Fruit Valley, Wet World Shah Alam, KSL Esplanade Hotel, Nur Lembah Pangsun dan Cyberview Resort & Spa.

Dalam pada itu, Tourism Selangor berkata persembahan Wau kapal Selangor dan demonstrasi kacang tumbuk Heritaste juga akan dibawa bagi mempromosi industri kecil dan sederhana.

“Selaras matlamat pembangunan mampan, tema tahun ini menekankan kepentingan produk pelancongan tempatan dan komuniti di Selangor,” katanya menambah Jungle School Gombak turut dipamerkan.

Selangor menyasar tujuh juta pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dengan tema ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ serta ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’


Pengarang :