Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan menyampaikan sumbangan angpau kepada penerima pada majlis mesra sambutan Tahun Baharu Cina Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah, Klang pada 1 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBDK rai 200 masyarakat Tionghoa kurang berkemampuan sempena Tahun Baharu Cina

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 2 MAC: Seramai 200 masyarakat Tionghoa kurang berkemampuan diraikan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sempena Majlis Mesra Tahun Baharu Cina di Dewan Hamzah, di sini semalam.

Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan berkata pihaknya menghulurkan sumbangan duit raya kepada 123 penerima terdiri daripada keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas.

“Adalah besar harapan saya agar sambutan perayaan seperti ini menjadi peluang untuk kita memupuk nilai prihatin selain mengecapi kemajuan bersama-sama insan yang memerlukan.

“Saya juga yakin sambutan perayaan seperti ini dapat memupuk persahabatan dan keharmonian yang lebih kukuh dalam kalangan warga kerja majlis,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan (tengah) menggaul ‘yee sang’ pada Majlis Mesra sambutan Tahun Baharu Cina Majlis Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah, Klang pada 1 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELAMGORKINI

Sementara itu penerima sumbangan Tee Kiam Ong, 62, berkata biarpun sambutan itu sudah berakhir namun ‘angpau’ yang diterima dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan harian.

Tee Kiam Ong, 62

“Saya gembira hari ini bukan sahaja diraikan malah menerima sumbangan daripada majlis, terima kasih MBDK dan ahli majlis kerana sudi meraikan kami pada majlis yang cukup meriah ini,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi warga emas Kuan Kim Liam, 85, selain berharap sambutan seumpamanya diteruskan agar lebih golongan kurang berkemampuan dapat menerima manfaat.

Kuan Kim Liam, 85

“Selama ini saya sambut dengan anak- anak dan keluarga sahaja tetapi hari ini diraikan MBDK. Saya juga bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan,” katanya.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan (tengah) pada Majlis Mesra sambutan Tahun Baharu Cina Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah, Klang pada 1 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Pengarang :