SHAH ALAM, 23 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan 5,000 pek bubur lambuk di tiga lokasi sekitar bandar raya ini, hari ini.
Menerusi program Jelajah Bubur Lambuk 2024, agihan dibuat di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, ibu pejabat polis Selangor serta Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dekat sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/Bubur8-500x297.jpg.webp)
Ketua tanggungjawab sosial korporat MBI berkata program julung kali diadakan secara mega itu melibatkan kerjasama beberapa agensi antaranya Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Wanita Berdaya Selangor.
Turut terlibat, Ara Damansara Medical Centre, Jabatan Penerangan Negeri Selangor, Tourism Selangor, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung cawangan Shah Alam dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
“Kita turut mendapat tajaan 150 kilogram beras dari Bernas untuk memasak juadah bermula jam 7 pagi tadi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/Bubur2-500x332.jpg.webp)
“Seramai 200 sukarelawan dari pelbagai agensi bertungkus lumus menjayakan program ini dari proses memasak hingga agihan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Selangorkini.
Agihan juadah dilakukan secara konvoi berkumpulan yang turut disertai Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Ashaaree.
Pengagihan dibuat ke lokasi iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.