Sukarelawan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumpulkan lebihan makanan di bazar Ramadan ketika program MBSA MySave Food @ Bazar Ramadan pada 18 Mac 2024. Foto Facebook MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA kumpul, agih lebihan makanan bazar Ramadan kepada penduduk

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif mengumpul lebihan makanan bazar Ramadan dekat sini untuk diagih kepada penduduk.

Menerusi Facebook, MBSA memaklumkan pihaknya berjaya menyelamatkan 1,425.9 kilogram makanan setakat tiga hari program MBSA MySave Food @ Bazar Ramadan.

“Peniaga bazar yang terlibat boleh menghantar makanan yang tidak habis dijual dan masih elok ke khemah MBSA MySave Food dan sukarelawan kami sedia membantu.

“Makanan yang diterima akan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan selepas waktu berbuka puasa,” katanya.

Penduduk mengambil lebihan makanan bazar Ramadan yang dikumpul Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Mac 2024. Foto Facebook MBSA

Menurutnya, lokasi program bertempat di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

MBSA juga menasihatkan peniaga merancang dengan baik kuantiti juadah yang disedia bagi mengurangkan lambakan makanan yang tidak habis dijual.

 


Pengarang :