Perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 12 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Garis panduan, kod etika kecerdasan buatan dilancar bulan depan

SHAH ALAM, 13 MAC: Garis panduan governan dan kod etika kecerdasan buatan (AI) dijadual dilancar bulan depan bagi mencegah dan meminimumkan risiko negatif kesan penyalahgunaan teknologi itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata dokumen asas kepada pembangunan perundangan berkaitan AI pada masa hadapan itu akan dibentangkan ke kabinet Mac ini sebelum dilancarkan bulan depan.

Beliau menjelaskan merangkumi tiga kategori membabitkan pengguna (orang awam), penggubal dasar dan pembangun atau penyedia teknologi AI, garis panduan itu rujukan bagi mencegah dan meminimumkan risiko negatif kesan penyalahgunaan teknologi terbabit.

“Mengikut garis masa pembangunan, dokumen ini akan dibentangkan ke kabinet bulan ini sebelum dilancarkan April 2024.

“Sesi perundingan awam selesai dilaksanakan dengan Malaysia Productivity Corporation (MPC) melalui portal Unified Public Consultation (UPC) bagi mendapatkan pandangan orang awam mengenai draf dokumen garis panduan untuk tujuan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung yang ingin tahu langkah diambil kerajaan untuk memantau dan mengawal kesan penggunaan AI di negara ini.

Mengulas lanjut Lih Kang berkata garis panduan governan dan kod etika AI antara langkah diambil banyak negara di dunia bagi mengawal dan memantau penggunaan teknologi AI.

“Kita (Malaysia) turut merujuk kepada negara lain dalam membangunkan garis panduan ini antaranya Jepun, China, Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom.

“Kesatuan Eropah (juga) telah membangunkan Akta AI (EU AI Act) yang diluluskan pada Disember 2023.” katanya.


Pengarang :