Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Sri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail bergambar bersama selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 16 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Guru lakukan gangguan seksual akan dipecat

SHAH ALAM: Guru yang didapati melakukan kesalahan gangguan seksual kepada pelajar akan terus dipecat, kata menteri pendidikan.

Fadhlina Sidek berkata penekanan itu dilakukan bagi memastikan semua warga institusi pendidikan faham sekali gus mengelakkan tiada kejadian sedemikian di sekolah.

“You touch, you go (kamu sentuh kamu pergi). Mesej kita jelas dan tegas.

“Ini juga untuk semua. Tak kira anak murid diganggu di rumah sekalipun…you touch you go kepada yang membuat keganasan ini,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Sri Azalina Othman Said menunjukkan memorandum persefahaman ketika Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 16 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berlangsung di Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran negeri (SUK), majlis dirasmikan Menteri Undang-undang Datuk Seri Azalina Othman Said. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Fadhlina berkata pihaknya dengan Kementerian Belia dan Sukan turut melancarkan Program Sekolah Selamat bertujuan menyediakan persekitaran bebas gangguan seksual ketika menjalankan aktiviti sukan.

Dalam masa sama, kementerian juga bakal menambah bilangan guru kaunselor sebagai langkah mengatasi isu terbabit selain menangani masalah mental dan disiplin dalam kalangan pelajar.

“Tahun ini kita tambah untuk pelajar keperluan khas dan langkah ini akan berterusan,” katanya menambah isu gangguan seksual turut diberi perhatian kepada pelajar lelaki.

Sementara itu Azalina menasihati warga pendidik supaya segera melaporkan kejadian gangguan seksual yang berlaku terhadap pelajar sekiranya ada menerima aduan.

Jelasnya tindakan pantas itu mampu mengelakkan kanak-kanak terbabit terus menjadi mangsa dan bakal memberi kesan kepada masa depan mereka.

“Jangan jadikan pengadu (pelajar) mangsa untuk kali kedua. Bila ada yang adu, terus laporkan kerana selalunya kanak-kanak tidak berbohong.

“Jika tidak laporkan, kamu yang akan dikenakan tindakan. Jangan hanya pentingkan maruah sekolah. Polis juga akan beri perlindungan kepada pihak yang melapor,” katanya.


Pengarang :