Suasana Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Tiada warga asing diseksa, dibiar mati di depoh tahanan imigresen

SHAH ALAM, 12 MAC: Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan laporan Human Rights Watch (HRW) berhubung ada warga asing diseksa atau dibiar mati di depoh tahanan imigresen negara ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menyangkal depoh tahanan imigresen sesak melebihi kapasiti seperti didakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara itu.

Jelas Saifuddin kerajaan membelanjakan RM123 juta bagi mengurus 20 depoh tahanan imigresen seluruh negara tahun lalu, selain RM80 juta untuk perbelanjaan makanan dan bayaran tiket feri atau kapal terbang bagi pengusiran.

“Sampai begitu sekali kita jaga tapi HRW kata kita seksa mereka sampai mati. Jawatankuasa Khas Parlimen sudah memanggil KDN dan Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan ini, begitu juga HRW bagi memberi keterangan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto BERNAMA

“Saya difahamkan ketika diminta pembuktian di mana penyeksaan dan kematian yang disebut itu berlaku, satu cebis bukti pun tak dapat dikemukakan tapi laporan sudah mereka syarahkan satu dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng (HARAPAN-Bagan) berhubung laporan HRW yang mendakwa kerajaan menindas pelarian di pusat tahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin menambah, depoh tahanan imigresen seluruh negara mampu menampung sehingga 20,000 tahanan dan sehingga 7 Mac lalu ada 13,635 tahanan di semua depoh.

Menurutnya tahanan ditangkap atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport seperti terlebih tinggal, salah guna pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan.

“Ada juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang terbabit dalam kesalahan jenayah seperti dadah, rogol dan bunuh,” katanya.

HRW sebelum ini mendakwa pelarian dalam depoh tahanan imigresen di negara ini diberi layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.

Laporan itu didakwa dihasilkan berdasarkan temubual terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh berkenaan.


Pengarang :