Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Ramadan berjumlah RM20,000 kepada Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim sempena majlis berbuka puasa bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Muafakat pastikan Kerajaan Perpaduan terus utuh di Selangor

SHAH ALAM, 20 MAC: Permuafakatan yang dicapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan adalah elemen penting memastikan gabungan itu kekal utuh di Selangor.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semangat muafakat yang erat menjadikan Kerajaan Perpaduan berada di landasan betul untuk mengemudi tampuk pentadbiran negeri dan negara.

“Sebenarnya pada ketika ini kita sedang berdepan dengan barisan pembangkang yang desperate (terdesak). Walaupun suara mereka kuat, nampak lantang sebenarnya mereka semakin terdesak.

“Sebab itu saya percaya kita kena kuat, sepakat, berpadu dan mengumpulkan kekuatan. Kita cuba sedaya upaya dan semampu mungkin memberikan yang adil kepada semua.

“Saya yakin kalau perkara sesukar kerusi pilihan raya pun kita baik dan tidak bertembung, mampu bertahan dengan kuat walaupun diserang. (Saya yakin) tiga empat tahun lagi perpaduan kita bertambah kuat,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berbuka puasa bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan Selangor di kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim, Timbalan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Johan Abd Aziz dan kira-kira 300 pimpinan parti pelbagai peringkat.

Terdahulu, pada majlis itu Amirudin turut menyampaikan sumbangan Ramadan berjumlah RM60,000 kepada parti gabungan Kerajaan Perpaduan Selangor untuk aktiviti pengimarahan masjid dan surau.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Ramadan berjumlah RM20,000 kepada Timbalan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Johan Abd Aziz sempena majlis berbuka puasa bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :