Peserta menjalani latihan amali ketika menyertai bengkel pemantapan diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 15 Jun 2023. Foto Facebook STDC
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri laksana pelbagai program cipta peluang kerja untuk anak muda

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Negeri melaksana pelbagai program dan insiatif bagi mencipta peluang pekerjaan kepada anak muda di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata ia termasuk kerjasama dengan syarikat penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa seperti Siemens, Apple Inc dan Dassault System.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tahun lalu Selangor berjaya mencipta kira-kira 33,000 peluang pekerjaan untuk diisi pekerja berkemahiran dan separa mahir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 7 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Peluang pekerjaan ini juga meliputi pelbagai bidang dan bidang kemahiran yang memerlukan program latihan disebabkan itu kita memperkemas latihan teknikal dan vokasional di STDC (Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor),” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Semenyih Nushi Mahfodz yang ingin tahu langkah Kerajaan Negeri mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak muda.

Amirudin menambah, Kerajaan Negeri juga menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melibatkan kerjasama STDC dan Kolej Vokasional untuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran.

“Baru-baru ini saya juga telah mengadakan pertemuan dengan Malaysian Board of Technology yang telah membincangkan bagaimana untuk memperkasa Fakulti Kejuruteraan serta bidang teknikal dan vokasional di Unisel (Universiti Selangor).

“Kita turut melaksanakan program Jom Kerja kira-kira tiga kali setahun dan saya percaya program ini boleh diperbanyak (selepas ini) bergantung kepada peruntukan diberikn Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :