EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (tengah) menyerahkan surat tawaran Rumah Selangorku kepada salah seorang penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri pada 11 Mac 2024. Foto HANAFI MOHAMED/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri tunai janji, penduduk Kampung Bunga Raya dapat tawaran Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerajaan Negeri hari ini melunaskan janji apabila menyerahkan surat tawaran Rumah Selangorku kepada 36 penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya yang berdepan perintah pengusiran mahkamah.

EXCO sumber manusia berkata tawaran itu membolehkan mereka membeli unit kediaman mampu milik jenis A di Taman Alam Perdana, Puncak Alam berharga RM42,000 dengan mudah dan pantas (fast track).

V Papparaidu menjelaskan kunci rumah akan diserah selewat-lewatnya sebulan selepas selesai proses di peringkat bank dengan permohonan perlu diurus sendiri oleh mereka.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (tengah) bercakap pada sidang media penyerahan surat tawaran Rumah Selangorku penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri pada 11 Mac 2024. Foto HANAFI MOHAMED/MEDIA SELANGOR

“Sepertimana dijanjikan Khamis lalu (7 Mac), kita akan beri peluang kepada kesemua 118 yang tinggal di kawasan terbabit untuk beli Rumah Selangorku. Hari ini, 36 yang sudah disaring dapat surat tawaran.

“Mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rumah dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air. Hanya perlu isi borang serta diberi rumah dalam tempoh dua ke empat minggu selepas melalui proses bank,” katanya.

Bercakap pada sidang media hari ini, Papparaidu bagaimanapun berkata tawaran tidak diberi kepada mereka yang sudah memohon Rumah Selangorku sebelum ini kecuali kes kecemasan.

“Ada beberapa permohonan sebelum ini, mereka sudah mohon. Mereka tidak akan dimasukkan dalam senarai ini melainkan sekiranya mereka gagal dapat rumah yang dimohon.

“Kita juga berharap mereka patuhi syarat Lembaga Perumahan Hartanah Selangor seperti pemohon tidak boleh bankrap dan mereka yang meninggal dunia boleh wariskan permohonan kepada anak atau sesiapa sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim berterima kasih atas komitmen Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu yang berlarutan sejak tiga dekad lalu.

“Sebelum ini kita ada strategi lain untuk bantu seperti menyediakan penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun sebahagian besar memilih untuk sewa sendiri.

“Saya berharap tawaran ini melegakan penduduk terlibat dan boleh mulakan hidup baru dengan rumah yang ditawarkan,” katanya.

Rumah Panjang Kampung Bunga Raya merupakan penempatan sementara kepada 118 keluarga yang dipindahkan pada 1993 susulan projek perumahan Dahlia di Seksyen U5 di Shah Alam.

Kerajaan Negeri ketika itu meminta penduduk berpindah ke penempatan sementara rumah panjang tersebut yang merupakan tanah milik kerajaan negeri sebelum berjanji memberi penempatan baru.

Namun, baru-baru ini penduduk terkejut apabila kawasan rumah panjang itu telah dijual kepada syarikat pemaju swasta dan mengarahkan penduduk supaya berpindah tanpa memberikan sebarang penyelesaian alternatif.


Pengarang :