Keadaan aliran trafik yang perlahan di Plaza Tol Gombak dari kedua-dua arah selepas orang ramai mula pulang dari bercuti di kampung halaman ketika tinjauan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 24 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Op Selamat sempena Aidilfitri pada 8 hingga 13 April

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Polis Diraja Malaysia akan melaksanakan Op Selamat 22 sempena perayaan Aidilfitri pada 8 hingga 13 April ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi berkenaan yang akan dilancarkan pada 5 April bertujuan memastikan kelancaran lalu lintas pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Selain itu JSPT juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti untuk memastikan rumah dan premis yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita pada program berbuka puasa bersama petugas JSPT Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Pada program itu Mohd Azman turun mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Mengulas tentang kesesakan jalan raya di ibu kota sewaktu Ramadan ini, Mohd Azman berkata 200 anggota trafik ditempatkan di 140 lokasi panas berlaku kesesakan.

Menurut beliau, sewaktu bulan Ramadan kira-kira satu juta kenderaan memasuki ibu kota setiap hari untuk orang ramai bekerja selain membeli-belah barangan persiapan hari raya.

“Pengguna jalan raya diminta bersabar dan patuh kepada undang-undang jalan raya dan arahan daripada anggota trafik yang bertugas,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :