ADNSELANGOR

Orang ramai dipelawa kumpul pakaian terpakai, bantu golongan memerlukan

SHAH ALAM, 22 MAC: Orang ramai dipelawa mengumpul pakaian terpakai (preloved) yang masih elok dan menyerahkannya kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku.

Wakil rakyatnya berkata pakaian terkumpul itu akan diedarkan kepada golongan kurang berpendapatan selain membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri.

“Program #BundleRaya ini sudah memasuki tahun ketiga penganjuran dan sambutan setiap tahun menggalakkan. Selain sumbangan individu kita turut terima (pakaian) daripada syarikat dan badan bukan kerajaan.

“Kita mengalu-alukan serahan pakaian terpakai seperti baju kurung, baju kebaya, baju melayu, samping, songkok, tudung, kerongsang mahupun kasut,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi.

Yi Wei menjelaskan mana-mana individu yang berminat untuk sertai boleh serahkan barangan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kampung Tunku mulai hari ini sehingga 27 Mac ini.

“Selepas tarikh itu kita akan mula pilih dan mengasingkan pakaian yang masih elok kemudian kita jangka edaran dibuat pada 30 Mac ini di Dewan Orang Ramai Flat Sri Aman,” ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi penyelaras program Nur Rahim Nasir menerusi talian WhatsApp 018-906 0270.


Pengarang :