Orang ramai diminta mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan strok haba. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Orang ramai disaran ambil karbohidrat kompleks elak terkena strok haba

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Orang ramai dinasihati mengambil makanan mengandungi karbohidrat kompleks terutama ketika negara dilanda fenomena El Nino bagi mengelak terkena strok haba sepanjang menjalani ibadah puasa.

Pensyarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan Komuniti Dr Suhainizam Muhamad Saliluddin berkata pengambilan makanan daripada kandungan itu seperti buah kurma akan terurai secara perlahan sekali gus menyebabkan tempoh kenyang lebih lama berbanding pengambilan gula putih.

“Pemakanan yang mengandungi gula putih baik untuk pengekalan tenaga, tetapi apabila satu hingga dua jam selepas sahur, tenaga berkurangan akibat proses penguraian yang pantas,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.

Beliau berkata strok haba adalah penyakit disebabkan kepanasan melampau yang didahului dengan kekejangan haba diikuti kelesuan haba yang antara lain berlaku apabila suhu badan meningkat, jantung berdenyut laju, pening atau sakit kepala dan keletihan melampau.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini memaklumkan fenomena El Nino bermula pertengahan tahun lalu boleh berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu tular menerusi media sosial berkaitan kurma yang dimakan bersama mentega, Dr Suhainizam berkata ia tidak boleh dijadikan amalan dalam pemakanan.

“Kurma bagus kerana mempunyai gula kompleks, tetapi apabila digabungkan dengan mentega yang mengandungi lemak tinggi boleh mendatangkan masalah lain.

“… termasuklah yang tular tentang isu meminum air dengan meletakkan garam celtic, bahaya jika amaun yang ditambahkan dalam minuman tidak tepat, akan menyebabkan terjadinya masalah lain,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :