Orang ramai membeli barang keperluan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Rawang di Dataran Batu Arang pada 3 Mac 2024. Foto Fitri Hazim Hazam/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Orang ramai redah hujan kunjungi jualan murah, ayam, ikan habis awal

SELAYANG, 3 MAC: Hujan tidak menghalang penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang khususnya Batu Arang mengunjungi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di sini hari ini.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu mendapat sambutan apabila seawal 8 pagi orang ramai sudah beratur untuk membeli pelbagai barangan pada harga murah.

Pegawai Penyelarasnya berkata lebih 500 pengunjung hadir ke program itu yang diadakan di Dataran Batu Arang.

“Walaupun hujan penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah malah 380 nombor habis diagihkan dalam tempoh singkat.


Pegawai Penyelaras DUN Rawang Kiriterakumarran Vellymalai ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Rawang di Dataran Batu Arang pada 3 Mac 2024. Foto Fitri Hazim Hazam/SELANGORKINI

“Telur, ayam dan ikan antara produk yang paling mendapat sambutan dan habis terjual kurang dua jam,” kata Kiriterakumarran Vellymalai.

Sementara itu, warga emas Rohani Sharif, 60, berharap jualan murah itu diadakan lebih kerap menjelang Ramadan.

“Saya harap lebih banyak diadakan kerana JER ini membantu warga emas seperti saya berjimat dan mendapat bekalan berbanding beli di luar,” katanya.

Pengunjung Jualan Ehsan Rahmah Rohani Sharif, 60, ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Rawang di Dataran Batu Arang pada 3 Mac 2024. Foto Fitri Hazim Hazam/SELANGORKINI

Pemandu lori, Kathiresan Kathrayan, 49, berkata JER dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dan berharap inisiatif itu diadakan lebih kerap di kawasan Batu Arang.

“Program sebegini membantu mereka yang berpendapatan rendah, memperoleh gaji harian serta makan gaji untuk berdepan dengan kos sara hidup,” katanya.

Bagi Logeswari Arumugam, 52, jualan murah itu menjimatkan sehingga 30 peratus perbelanjaan barangan asas rumahnya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :